“Book Descriptions: Bagi Nitara, dia hanya seorang manusia biasa tanpa sebarang keistimewaan. Malah, diuji dengan pelbagai kekurangan, dia tercari-cari arah hidupnya, sehinggalah takdir menentukan berlaku insiden yang membawanya ke satu alam yang tidak disangkanya benar-benar wujud, di mana dia dipertemukan dengan Andika, Ganda, Taming, Arga, Mantrin dan Genta, yang diasuh dan diketuai oleh Tok Tua. Gandera, sebuah negeri yang wujudnya hanya disangka adalah sebuah khayalan atau mitos, berdiri megah sebagai satu pertahanan bagi Tanah Melayu, menggalas tugas yang diamanahkan kepadanya, iaitu bagi menentang Sabdo Palon dan kuncu-kuncunya, yang sudah bersumpah akan menghancurkan Islam di nusantara apabila tiba tempohnya. Kisah yang tercatat di dalam jangka Sabdo Palon itu rupanya memang benar, dan pertembungan itu sebenarnya sedang menanti hari untuk terjadi. Tanpa sangka, Nitara terjebak di dalam kemelut itu, dan tidak sekali pernah dijangkanya, bahawa dia berada di tengah-tengah konflik itu sebagai satu elemen utama. Kecacatan dan kekurangannya rupanya adalah kunci kepada segalanya. Sungguh lagi nyata bahawa tiada sesuatu yang Allah jadikan, adalah sia-sia. Bagaimana kesudahannya pertembungan di alam bunian yang ghaib itu? Siapa Tok Tua sebenarnya? Apa hubungannya dengan Tok Uban? Apakah Si Gumum dan sifat bengkengnya akan mampu membantu perjuangan mereka? Apa pula kaitan Nyi Gadung Melati dan Gandera itu sendiri? Siapakah wanita ini, yang memuja Sabdo Palon sebagai dewanya, tapi pada masa yang sama, punya perseteruan dengan Nyi Roro Kidul, anak kepada Sabdo Palon sendiri? Apakah Jentayu dan Rajawali sanggup membantu Gandera dan angkatan Bhayangkaranya? Dan apakah pula peranan keris hijau kerajaan Melayu itu? Santai dalam penceritaan dengan babak-babak yang mampu membuatkan anda tersenyum sendiri, namun padat dengan falsafah, sejarah dan pengajaran, yang mampu membangkitkan rasa rindu anda pada asal-usul dan akar budaya bangsa. Adalah satu kerugian jika kisah ini tidak diangkat sebagai sebuah bacaan wajib anda. KERSANI..sebuah kisah yang meletakkan dunia Melayu setaraf dengan dunian ciptaan seperti di dalam kisah-kisah Lord of The Ring atau Harry Potter, terjalin daripada inspirasi anak Melayu sendiri.” DRIVE